Perjalanan Alam Perkahwinanku

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, June 19, 2013

Kualiti udara di Johor paling tidak sihat


Kuala Lumpur: Johor menjadi antara negeri yang masih memiliki kualiti udara tidak sihat apabila rekod bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di tiga stesen pengawasannya, melebihi IPU 101 sehingga jam 5 petang semalam.

Stesen berkenaan di Pasir Gudang mencatat IPU 148, Larkin Lama (IPU 122) dan Kota Tinggi (IPU 126), namun Stesen Muar memiliki status kualiti udara sederhana menerusi bacaan IPU 68.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan berkata, Kemaman, Terengganu yang pada jam 11 pagi menunjukkan bacaan tidak sihat (IPU 103) mengalami penurunan kepada IPU 99.

Manakala, 16 stesen dikategori baik dengan bacaan antara 0 dan 50 serta 32 lagi direkodkan pada tahap sederhana antara 51 hingga 100. Bagaimanapun, sehingga kini tiada kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat antara 201 hingga 300 selain 300 ke atas yang dikelaskan sebagai berbahaya.

JAS berkata secara keseluruhannya, status kualiti udara di kebanyakan kawasan di Pantai Barat Semenanjung sudah bertambah baik meskipun Pantai Timur Semenanjung masih mencatat IPU pada tahap tidak sihat.

“Ini berikutan pencemaran jerebu merentasi sempadan dan negara kini sedang mengalami musim Monsun Barat Daya bermula Jun dan dijangka berterusan sehingga September 2013. “Kebanyakan kawasan titik panas (hotspot) adalah tertumpu di Sumatera Tengah, Indonesia manakala, Peta Jerebu Serantau menunjukkan pergerakan asap jerebu dari kawasan kebakaran dan tiupan angin dari arah barat daya membawa pencemaran ke kawasan Pantai Barat, terus merentasi Pantai Timur Semenanjung,” katanya.

Maklumat daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) juga menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu di kawasan kebakaran di Wilayah Riau Sumatera Tengah, Indonesia hingga ke Selatan Pantai Barat Semenanjung.

Berikutan itu JAS menasihat orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertakluk peruntukan serupa, kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan.

JAS akan terus mengawasi status kualiti udara di seluruh negara mengikut tindakan digariskan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan selain Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka.

Penguatkuasaan turut dipertingkatkan ke atas kenderaan bermotor dan industri yang melepaskan asap menyalahi peruntukan undang-undang negara.

Sementara itu, orang ramai diminta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

myMetro 19 Jun 2013

No comments:

Post a Comment