Asid folik atau folate adalah vitamin B9 yang selalunya dijumpai di dalam sayuran hijau, jus buahan dan bijiran. Asid folik diperlukan terutama semasa anda merancang untuk hamil, dan tiga bulan pertama selepas hamil. Ia boleh mengurangkan risiko untuk mendapat anak yang cacat terutamanya kecacatan saraf (NTD) , otak (anencephaly) dan saraf tunjang (spina bifida).
Kajian telah menunjukkan bahawa, kecacatan ini boleh dikurangkan sehingga 70%. Itulah sebabnya sangat penting untuk anda memakan asid folik semasa hamil. Anenchephaly adalah nama diberikan kapada bayi yang tidak mempunyai tisu otak dan akan mati sejurus selepas ia dilahirkan. Spina bifida pula adalah kecacatan saraf tunjang yang boleh menyebabkan lumpuh, masalah usus, pundi kencing dan kecacatan otak.
Risiko-risiko yang boleh menjurus kepada spina bifida :
• Keluarga yang pernah mengalami NTD
• Pernah hamil anak yang mengalami NTD
• Mengambil ubat sawan
• Kencing manis
Semua wanita yang merancang untuk hamil disarankan untuk mengambil asid folik sekurang-kurangnya 0.4 miligram dan 0.8 miligram sesudah hamil untuk mengurangkan risiko tersebut.
ASID folik adalah sejenis vitamin B. Terdapat 12 jenis vitamin B. Asid folik dilaporkan dapat menurunkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang (sistem tiub neural) janin atau bayi sehingga 80 peratus.
Ini adalah penurunan risiko yang besar.
Pembentukan otak (dan organ lain) janin berlaku dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan (12 minggu ke bawah). Apabila seseorang disahkan hamil melalui ujian air kencing, usia kandungannya sudah pun lima minggu.
Doktor lazimnya menasihatkan wanita mula mengambil pil asid folik sebanyak lima miligram atau sekurang-kurangnya 400 mikrogram setiap hari seawal sebulan sebelum memulakan kehamilan.
Secara praktiknya memandangkan kita tidak pasti bila kita akan hamil, maka pengambilan pil asid folik elok dimulakan bila-bila masa sama ada sebulan sebelum perkahwinan atau sebulan sebelum menghentikan pengambilan kaedah mencegah kehamilan.
Bagi wanita yang pernah melahirkan anak dengan kecacatan berkaitan seperti bayi tanpa tempurung kepala (anencephaly), asid folik, elok diambil sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum kehamilan.
Pengambilan makanan berkhasiat dan suplemen berkaitan dapat memberi sumber makanan optimum kepada janin anda, tanpa menunggu sehingga selepas kelahiran.
Selain itu, tidak salah jika anda ingin meneruskan pengambilannya kini. Kajian juga ada melaporkan kebaikan lain asid folik seperti mengurangkan risiko nyanyuk apabila berusia lewat kelak.
Vitamin B pula seperti vitamin C iaitu bersifat larut air, pengambilan dalam dos berlebihan akan bersifat membazir kerana ia akan keluar di dalam air kencing atau najis. Anda juga dinasihatkan mendapat nasihat doktor anda sebelum pengambilan suplemen lain.
Sumber daripada :
Harian metro
ddhasnidar.blogspot.com
Thursday, June 2, 2011
Kehamilan 5 Minggu
Anda mungkin tidak kelihatan hamil pada masa ini, namun, jantung embrio, yang lebih kecil dari biji kaskas, sudah mula berdenyut dan mengepam darah. Jantung mula membahagi kepada kamar-kamarnya dan dalam sedikit masa akan mendapat ritma denyutan yang baik. Panjang embrio lebih kurang suku inci / setengah sentimeter dan rupanya lebih mirip berudu daripada manusia. Ia membesar secara memecut pada minggu ini.
Organ utama, seperti ginjal dan hati, mula muncul. Tiub saraf, yang menyambungkan otak dan korda spina, akan tutup pada minggu ini. Anggota bawah bayi mula tumbuh - ini akan menjadi tangan dan kaki bayi anda. Usus sedang berkembang dan apendiks bertempat di ruangnya.
Di bawah pembukaan yang akan menjadi mulut bayi anda, lipatan-lipatan kecil muncul yang akan menjadi leher dan rahang bawah bayi. Seawal minggu ini, raut muka sudah mula terbentuk. Lubang hidung lebih kelihatan dan versi terawal retina mata mula timbul. Dapatkan maklumat tentang folik asid yang diperlukan oleh anda.
sumber dari :
www.babycenter.com.my
Kehamilan 4 Minggu
Terdapat bebola sel - yang kini bergelar embrio - sedang membesar dalam uterus anda dan ia telah mencapai saiz sebesar biji kuaci. Ia mempunyai tiga lapisan yang kemudiannya akan bertukar menjadi organ-organ dan tisu-tisu. Di bahagian bawah di sisi kepalanya, terdapat dua lipatan tisu yang akan menjadi telinga bayi.
Tiub saraf - dari mana otak, tulang belakang dan korda spina akan tumbuh - kini membesar di lapisan atas. Jantung dan sistem peredaran mula menjelma di lapisan tengah. Lapisan ketiga mula menempatkan paru-paru, usus dan sistem urinari yang awal. Dalam pada itu, versi awal plasenta, iaitu vilus korioni dan tali pusat, yang menghantarkan makanan dan oksigen kepada bayi anda, sudah mula berfungsi.
sumber dari :
www.babycenter.com.my
Proses Persenyawaan
Adakah anda bersedia? Ramai wanita, ketika mahu hamil, bertindak untuk tidak mengambil minuman keras, tidak merokok atau mengambil sebarang ubat - termasuk ubat yang dijual tanpa preskripsi - agar badan mereka berada dalam keadaan yang paling sihat untuk menghasilkan bayi.
Walaupun agak aneh, doktor anda akan mengira tarikh jangka lahir (dan umur gestasi bayi anda) dengan menghitung balik ke hari pertama haid terakhir anda. Oleh sebab sukar untuk mengetahui dengan tepat bilakah masa ovulasi, dan juga bila sperma mensenyawakan telur anda, pakar perubatan sering menggunakan tarikh haid terakhir sebagai titik permulaan bagi sembilan bulan berikutannya. Ini bermakna secara "rasmi" minggu pertama kehamilan anda ialah minggu haid terakhir anda bermula. Sebab itu, umur sebenar bayi ialah dua minggu terawal dari umur gestasinya.
Semasa minggu kedua - dan setiap bulan sepanjang tempoh penantian ketibaan nyawa baru - hormon estrogen merangsang uterus anda untuk menyediakan lapisan tisu yang subur dan sarat darah. Peningkatan tahap hormon progesteron menyediakan uterus untuk menyara telur yang disenyawakan. Pada masa yang sama, ovari mematangkan telur-telur dalam sak-sak penuh cecair yang bergelar folikel. Dalam tempoh masa singkat badan anda membuat persediaan ini, konsepsi boleh berlaku, asalkan sperma berjaya bertemu telur.
Menjelang minggu ketiga, beberapa perkara akan berlaku. Di pertengahan kitaran (hari ke-14 dalam kitaran biasa 28 hari), anda akan mengovum - satu daripada telur anda ditarik dan dimasukkan ke dalam tiub falopio. Dalam 12 hingga 24 jam berikutan, telur ini akan disenyawakan jika satu daripada 350 juta sperma (jumlah dalam pancutan mani biasa) berjaya berenang dari vagina, melintasi uterus, terus menuju ke tiub falopio, lalu menembusi telur.
Setelah disenyawakan, telur itu, sekarang bergelar zigot, dengan serta-merta menutup membran luarnya untuk menyekat 250 sperma lagi yang juga berjaya membuat perjalanan itu. Kemudian ia mula membahagi kepada sel-sel yang serupa sambil membuat perjalanan turun dari tiub falopio ke uterus, di mana ia akan terus berkembang. Anda mungkin tidak sedar yang anda hamil untuk beberapa minggu lagi, walaupun setengah wanita percaya yang mereka tahu saat-saatnya konsepsi berlaku.
sumber dari :
www.babycenter.com.my
Subscribe to:
Posts (Atom)